KURSUS PERUBATAN ISLAM

KURSUS PERUBATAN ISLAM

Rabu, Jun 04, 2014

SIRI PENGAJIAN TASAWUF: KITAB PETUNJUK JALAN THARIQAT KARANGAN IMAM HABIB ABDULLAH HADDAD

DORONGAN BATIN UNTUK MENUJU KE JALAN ALLAH

Ketahuilah bahawa jalan yang mula-mula ditempuh ialah munculnya semacam dorongan yang kuat di hati yang menggerakkan, menarik minat dan mengajak untuk menuju ke jalan Allah Ta'ala dan menuju ke jalan akhirat, serta membelakangi dunia dan membelakangi segala yang biasanya dikejar oleh manusia dari mata-benda dunia; seperti mengumpul harta dan kekayaan, bersenang lenang menurut kehendak syahwat dan hawa nafsu serta bermegah-megahan dengan keindahan dan kemewahannya. Dorongan ini merupakan rahasia ketuhanan yang dilimpahkan ke dalam batin hambaNya. Itulah yang dikatakan inayah Tuhan dan tanda-tanda petunjukNya. Kerap inayah serupa ini dilimpahkan ke dalam batin hambaNya ketika dalam menakutkannya, atau menggembirakannya atau menimbulkan perasaan rindu terhadap ZatNya atau menerusi pertemuan dengan Para Wali Allah atau ketika mendapatkan pandangan daripada para Wali Allah. Adakalanya dorongan itu berlaku tanpa ada sesuatu sebab yang tertentu juga.

Adapun bercita-cita untuk mendapatkan dorongan seperti itu memang sangat-sangat dituntut dan digalakkan. Akan tetapi bercita-cita atau berharap sahaja untuk meningkat tanpa berusaha dan menetap di pintunya adalah suatu keputusan yang bodoh yang menunjukkan kedangkalan otak orang yang bercita-cita itu. Betapa tidak, bukankah Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: " Sesungguhnya Allah telah menyediakan berbagai-bagai kelimpahan pada setiap masa, maka hendaklah kamu menuntutinya."

Betapa banyak orang Islam yang telah mencapai usia dengan lapan puluh tahun atau lebih akan tetapi ia masih belum lagi dikurniakan dorongan seperti ini dan hatinya tidak pernah diketuk oleh rahsia kebatinan ini. Masya Allah.
(dipetik daripada Kitab Petunjuk Jalan Thariqat, karangan Imam Habib Abdullah Haddad)

Mudah2an kita tergolong dalam golongan yang mendapat inayah dan mendapat rahsia kebatinan mencintai para awliya dan Rasulullah serta pencipta kita Allah Azza Wa Jalla. Al-Fatihah.