Tangan dihulur maaf dipinta,
Erat hubungan sesama kita,
Semoga gembira di hari yang mulia ini,
Salah dan silap harap dimaaf,
Selamat Hari Raya Aidilfitri,
Maaf Zahir dan Batin.
Pada kesempatan yang ada ini, Tuan Guru Pengasas Terapi Al-Quran Baitul Ash-Syifa dan Barisan Perawat ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri 2012/1433H. Khususnya buat pengunjung dan pembaca blog.
Alhamdulillah kita berjaya berpuasa penuh dalam bulan Ramadhan. Alhamdulillah juga Allah memberi peluang kepada kita untuk menyambut Hari Raya Aidil Fitri. Adakah terhenti amalan seseorang muslim dengan berakhirnya bulan Ramadhan? Jawapnya tidak!, Amal soleh yang lazim dilakukan seperti Puasa, Qiyamulail, Sedekah, membaca Al-Quran, iktikaf dan lain-lain tidak terhenti dengan berakhirnya bulan ramadhan. Cuma Solat Terawih sahaja tidak boleh dibuat pada bulan lain.
Dalam kemeriahan menyambut Syawal jangan dilupakan tawaran Allah untuk memberi ganjaran pahala seperti berpuasa setahun penuh hanya dengan menambah 6 hari puasa bulan Syawal. Ganjaran yang diperoleh oleh mereka yang berpuasa 6 hari di Syawal ada dijelaskan melalui beberapa hadis Nabi Muhammad s.a.w. yang bersabda: “Sesiapa berpuasa pada Ramadan, kemudian diiringi dengan (puasa) 6 hari Syawal, maka dia seperti berpuasa 1 tahun penuh.” (Riwayat Muslim)
Hadis lain diriwayatkan oleh Imam At-Tabrani dengan sanadnya daripada Ibnu Umar r.a, Rasulullah s.a.w menjelaskan, "sesiapa yang melakukan ibadat seperti itu (puasa Ramadan dan 6 Syawal) dosanya dibersihkan seperti bayi baru dilahirkan ibunya".
Dari Abu Hurairah radhiallahu 'anhu, Nabi shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: "Barangsiapa berpuasa Ramadhan lantas disambung dengan enam hari di bulan Syawal, maka ia bagaikan telah berpuasa selama setahun. " (HR. Al-Bazzar)
Berdasarkan hadis ini setiap satu amalan umat akhir zaman akan digandakan sepuluh. Maka bila kita berpuasa penuh pada bulan Ramadan iaitu 30 hari dan ditambah dengan enam hari pada bulan Syawal maka jumlahnya 36 hari. Didarab dengan sepuluh maka menjadi 360 hari. Mengikut kalendar Hijrah setahun hanya lebih kurang 355 hari.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan